fb fb fb fb fb

Hampir semua peniaga di Negeri Sembilan guna plastik biodegradasi

Foto hiasan

SEREMBAN, 8 November - Hampir 100% peniaga di Negeri Sembilan sudah menggunakan plastik biodegradasi, sekaligus membuktikan kejayaan pelaksanaan larangan penggunaan plastik sekali guna di negeri itu.

Menurut Exco Kerajaan Tempatan Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J. Arul Kumar, perubahan itu merupakan hasil kempen berterusan kerajaan negeri sejak tahun 2022 dalam memberi galakan kepada masyarakat dan peniaga agar beralih kepada alternatif yang lebih mesra alam.

"Kita juga melihat di banyak permis-permis perniagaan di luar juga telahpun menukar kepada beg biodegradable. Selain daripada itu, kita juga telah minta supaya penguatkuasaan dilaksanakan oleh setiap PBT kepada peniaga-peniaga yang tidak mematuhi larangan tersebut, " katanya.

"Larangan tersebut dimasukkan sebagai salah satu syarat dalam lesen dan kalau mereka tak ikut syarat, lesen perniagaan mereka pun boleh dibatalkan. Kita mengambil tindakan ini kerana beg plastik itu adalah sangat tidak baik dan juga sangat tidak mesra kepada alam sekitar," tambahnya lagi

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Pelancaran Kempen “Shared Reusable Bag” di Pasar Besar Seremban.

Pada kempen itu, 100 beg kitar semula turut disediakan di Pasar Besar Seremban dan boleh digunakan sekiranya orang ramai yang hadir terlupa untuk membawa beg mereka.

Negeri Sembilan merupakan satu-satunya negeri yang tidak mengenakan caj 20 sen bagi setiap beg plastik, sebaliknya menumpukan usaha terhadap kesedaran dan perubahan sikap masyarakat.

EMMI NORALIZA ADNAN