PERMATANG PAUH, 8 November - Institusi agama termasuk pengajian pondok dan sekolah disaran meningkatkan pengetahuan dalam teknologi terkini terutama kercerdasan buatan (AI), supaya menjadi benteng pertahanan iman dan roh perjuangan umat islam.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dalam menuju ke arah teknologi terkini, penjajahan Barat kini menggunakan serangan teknologi dan fikrah.
"Penjajahan itu bukan lagi penjajahan kuasa tetapi penjajahan pemikiran dan jiwa," kata beliau.
Umat Islam perlu bersatu dan peka dengan teknologi baharu supaya tidak tewas dengan permainan Barat.
"Kita kena tambah ilmu dalam soal digital dan AI, kalau tidak kita tewas dalam serangan baharu ini. Dulu dalam penjajahan serang takluk negara dia (Barat) tawan golongan politik, ekonomi, pendidikan.
"Dia tak mampu tembus pondok (institusi agama) yang menjadi tembok pertahanan, iman dan roh perjuangan rakyat. Disebabkan itu umat Islam perlu bersatu tingkatkan kefahaman agama dan teknologi baharu," ucap beliau pada Majlis Peluncuran Pembangunan Masjid MADANI Permatang Pauh, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.
Kos pembinaan masjid tersebut yang hampir mencecah RM80 juta merupakan sumbangan individu dari dalam dan luar negara tanpa menggunakan dana kerajaan.
Masjid MADANI Permatang Pauh dibina di atas tapak seluas 5.51 ekar di Taman Arowana, bersebelahan Lebuhraya Utara-Selatan.
Pembinaan projek berkenaan bermula tahun 2025 dan dijangka siap pada suku keempat tahun 2027.
Apabila siap kelak masjid itu boleh memuatkan lebih 5,249 jemaah dalam satu satu masa.
Masjid tersebut akan dilengkapi dengan sebuah dewan serbaguna, perpustakaan, bilik kuliah, bilik musafir dan bilik jenazah selain pejabat pentadbiran.