fb fb fb fb fb

Hujan lebat selama dua jam, Kampung Baru Padang Sanai di Padang Terap dilanda banjir kilat

(ADUN Kuala Nerang, Munir Zakaria meninjau keadaan banjir kilat yang melanda Kampung Baru Padang
Sanai di Padang Terap, Kedah) 

KUALA NERANG, 22 Oktober - Hujan lebat yang turun dalam tempoh kira-kira dua jam lewat petang semalam menyebabkan Kampung Baru Padang Sanai di Padang Terap, Kedah dilanda banjir kilat.

Setakat tengah malam tadi, 22 penduduk telah dipindahkan ke Dewan Kampung Baru Padang Sanai selepas kediaman mereka dinaiki air.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Munir Zakaria berkata hujan lebat turun antara pukul 5 petang hingga 7 malam.

Beliau berkata, dalam tempoh 30 minit, air sungai berdekatan naik mendadak dan melimpahi tebing.


(Kampung Baru Padang Sanai di Padang Terap, Kedah dilanda banjir kilat)

Limpahan air tersebut memasuki rumah penduduk yang terletak berdekatan sungai dan di kawasan rendah.

"Dan saya nasihatkan kepada rakan-rakan kita yang berada di bawah daripada Kampung Baru Padang Sanai ini berjaga-jaga untuk pindah barang-barang, selamatkan, sebab air daripada sini akan turun ke sana, kampung-kampung di bawah sana," kata beliau selepas meninjau kejadian banjir kilat tersebut di Kampung Baru Padang Sanai, di sini malam tadi.

Beliau turut menyampaikan bantuan segera kepada penduduk yang terjejas.

Sementara itu, pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia turut memantau keadaan banjir di kawasan berkenaan.

Media Baharu