BUKIT KAYU HITAM, 3 Ogos – Seorang lelaki warganegara China ditahan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam kerana disyaki tinggal lebih masa di negara ini.
Menurut kenyataan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), lelaki berusia 39 tahun itu ditahan pada pukul 1.00 tengah hari semasa pemeriksaan dokumen rutin ketika cuba keluar dari Malaysia ke Thailand, kelmarin.
"Hasil semakan imigresen mendapati pasport suspek direkodkan masuk kali terakhir ke negara ini pada 30 Mei 2025 melalui Kompleks Sultan Abu Bakar, Johor.
Bagaimanapun, Endosmen Pas Lawatan Sosialnya didapati telah tamat tempoh dan tiada sebarang rekod keluar," menurut kenyataan itu.
Ia sekali gus menunjukkan lelaki terbabit telah tinggal di Malaysia melebihi tempoh yang dibenarkan selama 34 hari.
Suspek kini ditahan bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan telah diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut.