fb fb fb fb fb

Warga Indonesia ditahan di KLIA, disyaki guna ‘pasport terbang’

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 3 Ogos – Seorang lelaki warga Indonesia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 semalam selepas dikesan memiliki cap keselamatan yang mencurigakan ketika melalui pemeriksaan imigresen.

Menurut Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), siasatan awal mendapati, lelaki itu masuk ke Malaysia melalui Pasir Gudang, Johor pada 18 Julai 2022 dan direkodkan keluar pada 13 Ogos tahun sama.

Namun, beberapa cap keluar dan masuk yang tertera dalam pasportnya dari tahun 2022 hingga 2025 menimbulkan keraguan kerana tiada rekod rasmi dalam Sistem MyIMMs.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang catatan pergerakan keluar atau masuk bagi individu terbabit sepanjang tempoh tersebut,” menurut kenyataan AKPS hari ini.

Lelaki berkenaan kemudian mengaku tidak pernah meninggalkan Malaysia sejak 2022 dan dipercayai membayar kira-kira RM4,000 untuk mendapatkan cap keselamatan palsu.

“Penahanan ini sekali gus menimbulkan persoalan terhadap kesahihan cap-cap dalam pasportnya serta kemungkinan wujud sindiket ‘pasport terbang’ yang aktif,” menurut kenyataan itu lagi.

Tambah AKPS, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu atau rangkaian sindiket yang terlibat untuk tindakan tatatertib dan pendakwaan jenayah berkaitan pemalsuan dokumen perjalanan.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN