MOSCOW, 3 Ogos 2025 - Lawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke Rusia merupakan simbol hubungan diplomatik yang kukuh serta komitmen tinggi Malaysia dalam memperluas kerjasama strategik dengan Persekutuan Rusia.
Duta Besar Malaysia ke Rusia, Datuk Cheong Loon Lai memaklumkan, lawatan dari 5 hingga 10 Ogos 2025 itu mencatat sejarah sebagai lawatan negara pertama oleh Ketua Negara Malaysia ke Rusia sejak hubungan diplomatik dimeterai pada April 1967.
“Ia bukan sahaja simbolik kepada hubungan diplomatik yang telah terjalin lebih lima dekad, malah menjadi manifestasi komitmen Malaysia untuk memperkukuh kerjasama strategik yang lebih luas dan berimpak tinggi,” katanya dalam satu sidang media di sini.
Lawatan negara itu terbahagi kepada dua segmen, bermula di Moscow dari 5 hingga 8 Ogos dan diikuti dengan lawatan ke Kazan, Republik Tatarstan dari 8 hingga 10 Ogos.
Di Moscow, Seri Paduka Baginda akan menghadiri istiadat sambutan rasmi negara di Grand Kremlin Palace serta mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden Vladimir Putin.
Pertemuan tersebut dijangka membincangkan pelbagai isu dua hala termasuk perdagangan, pelaburan, pendidikan tinggi, inovasi teknologi, keselamatan makanan, serta kerjasama dalam transformasi digital.
Seri Paduka Baginda turut dijadual menghadiri majlis santapan negara yang akan dihoskan oleh Presiden Rusia.
Selaras dengan minat mendalam Tuanku dalam bidang automotif dan teknologi, Seri Paduka Baginda akan mencemar duli melawat Pusat Teknologi Automotif Rusia (NAMI) serta pameran teknologi dan inovasi Boiling Point.
Lawatan ini memberi ruang untuk meneroka potensi kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), terutamanya dalam teknologi automotif, dron dan robotik yang berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Di Kazan, Seri Paduka Baginda akan mengadakan pertemuan bersama Rais Republik Tatarstan, Rustam Minnikhanov, bagi memperkukuh kerjasama dalam sektor industri halal, teknologi pertanian, dan hubungan rakyat ke rakyat.
Tuanku turut dijadual melawat Kazan Helicopters Plant, antara pengeluar helikopter terbesar dunia yang telah mengeksport helikopter sejak tahun 1956. Lawatan ini menepati minat peribadi Tuanku yang juga merupakan seorang juruterbang helikopter.
Hubungan ekonomi Malaysia-Rusia di lihat terus kukuh apabila nilai dagangan dua hala antara Malaysia dan Rusia mencecah RM11.46 bilion, dengan eksport Malaysia bernilai RM4.08 bilion dan import sebanyak RM7.38 bilion pada tahun 2024.
Bermula Januari hingga Jun 2025 mencatat peningkatan nilai dagangan berjumlah RM4.13 bilion dengan nilai eksport sebanyak RM1.4 bilion dan import sebanyak RM 2.73 bilion.
Sehingga kini, sebanyak 15 projek pelaburan oleh syarikat Rusia telah diluluskan di Malaysia dengan jumlah pelaburan bernilai RM205.4 juta, yang berjaya mewujudkan 780 peluang pekerjaan.
“Seri Paduka Baginda sendiri menzahirkan kekaguman terhadap nilai sejarah, kemajuan teknologi Rusia dan berharap lawatan ini membuka lembaran baharu dalam kerjasama dua hala,” ujar Datuk Cheong.
Lawatan ini turut memperlihatkan peranan aktif Institusi Diraja Malaysia sebagai pemacu hubungan antarabangsa, khususnya dalam diplomasi tertinggi negara.
Pihak Kerajaan Rusia turut menyambut baik lawatan ini dan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam semua urusan protokol dan logistik.
Lawatan negara ini dijangka memperkukuh trend positif dalam hubungan Malaysia dan Rusia sekaligus membuka lebih banyak peluang kerjasama masa depan yang lebih luas dan menyeluruh.