fb fb fb fb fb

Malaysia-Filipina perkukuh kerjasama strategik demi keamanan serantau

Datuk Seri Anwar Ibrahim berbual telefon dengan Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. bincang kerjasama dua hala dan isu serantau

PUTRAJAYA, 5 Ogos - Malaysia dan Filipina komited untuk memperkukuh kerjasama strategik demi menjamin masa depan ASEAN yang lebih aman, bersatu dan stabil.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu perbualan telefon bersama Presiden Filipina, Ferdinand Romualdez Marcos Jr. hari ini menegaskan kepentingan kerjasama kedua-dua negara demi kestabilan serantau.

Menurut Datuk Seri Anwar, perbincangan turut menyentuh aspek keamanan dan keharmonian di perairan antarabangsa serta sempadan.

“Saya menekankan komitmen bersama untuk memperkukuh kerjasama strategik antara Malaysia dan Filipina,khususnya demi masa depan ASEAN yang lebih aman dan bersatu,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Dalam perbualan itu, beliau turut berkongsi perkembangan positif rundingan sempadan antara Thailand dan Kemboja yang dijangka dimuktamadkan pada Khamis ini menerusi kesepakatan Menteri Pertahanan kedua-dua negara.

Langkah itu disifatkan sebagai satu lagi kejayaan ke arah menjayakan matlamat ASEAN sebagai rantau yang damai, stabil dan makmur.

 

GRACE AISYAH KEDAYAN