fb fb fb fb fb

PDRM, UKM jalin kerjasama strategik menambahbaik keupayaan JSJN

(Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani)

BANGI, 21 Oktober- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalinkan kerjasama strategik menerusi memorandum persefahaman (MOU) bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk menambahbaik keupayaan penyiasatan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), khususnya bagi menangani ancaman bahan psikoatif baharu atau new psychoactive substances (NPS).

MOU tersebut ditandantangani Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani bersama Naib Canselor UKM, rof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman di universiti berkenaan di sini.

Menurut Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani melalui kerjasama itu, kajian dan penyelidikan akan dilakukan antaranya melibatkan perincian sebatian aktif dalam dadah bagi menentukan bahan yang mendorong pengguna dadah terlibat dengan jenayah.

Katanya, melalui kerjasama itu juga satu pangkalan data forensik molekul NPS akan dibangunkan.

"Dalam perkara ini PDRM menerusi JSJN perlu memperluas dan meneroka kaedah baharu yang lebih komprehensif serta memerlukan penglibatan entiti yang mempunyai kepakaran dalam bidang yang berkenaan.

"Sesungguhnya PDRM amat berbesar hati apabila pihak UKM bersetuju untuk menjalinkan kerjasama strategik menerusi MOU ini yang pastinya akan memberikan situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

(Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani (dua, kiri) bersama Naib Canselor UKM
 Profesor Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman (tiga,kiri) bergambar selepas menyempurnakan Majlis Menandatangani
Memorandum Persefahaman antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Auditorium
Akademia Siber Teknopolis UKM. Turut bersama, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik
Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay (kiri) dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik
dan Antarabangsa Profesor Dr Mohammad Kassim (kanan)


Tambahnya, sehingga kini dadah jenis NPS masih belum disenaraikan dalam jadual Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dilihat semakin kompleks berikutan pihak terlibat sentiasa cuba mencipta bahan kimia baharu untuk menggantikan bahan yang telah dijadualkan.

Program penyelidikan menerusi MoU itu juga akan memenuhi keperluan jangka panjang PDRM bagi pembangunan sumber manusia manakala hasil penyelidikan akan diguna pakai untuk operasi JSJN.

"Ia juga dilihat sebagai langkah bagi membantu pihak berkuasa untuk menangani penularan dadah dengan lebih baik selain menyokong pembangunan pakar bagi kedua-dua pihak dalam memenuhi keperluan sains forensik," katanya.







Media Baharu