PUTRAJAYA, 6 Ogos - Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya berlangsung meriah dengan perarakan konvoi kenderaan polis sepanjang 6.8 kilometer dari IPD Putrajaya Presint 7 hingga Balai Polis Presint 11.
Konvoi perarakan dimulakan dengan sesi penyerahan kit Jalur Gemilang oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), Julina Johan, kepada Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Aidi Sham Mohamed.
Konvoi turut melakukan penyerahan kit Jalur Gemilang kepada pengetua dan guru besar di dua buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2) dan Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ) Abdullah Ibn Mas’ud, Presint 11.
Konvoi kemudian diteruskan di Balai Polis Presint 11 dengan penyerahan kit Jalur Gemilang oleh Pengarah Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat JAPEN, Muhammad Najmi Mustapha kepada subinspektor Amir Jaafar selaku Ketua Balai berkenaan.
Menurut beliau, program tersebut dapat menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 dalam kalangan anggota polis dan penduduk sekitar.
“Kita telah melaksanakan program ini sejak dari bulan lepas lagi dengan pertama sekali kita memasang di kawasan perkarangan balai polis. Kemudian memasangnya di setiap rumah.
"Semua anggota polis di kuartes ini memberikan kerjasama lah. Secara keseluruhan, kita ada 48 unit rumah di kuarters ini,” katanya.
Sementara itu, Najmi berkata kerjasama bersama IPD Putrajaya merupakan sebahagian penganjuran inisiatif berkenaan bagi kluster keselamatan.
“Tahun ini kita ada tujuh kluster antaranya keselamatan dimana kita buat program bersama dengan IPD Putrajaya dan selepas ini akan ada beberapa kluster lagi yang akan digerakkan.
“Minggu lepas lagi kita telah adakan kluster pendidikan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pendidikan,” ujarnya.
Pada 27 Julai lalu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, telah melancarkan Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang sebagai simbol cinta akan negara dan lambang perpaduan menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025.