KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Kerajaan sedang bekerjasama dengan pengawal selia negeri untuk merangka tarif air khas bagi pusat data dan pengguna industri berat, selari dengan usaha mengurus permintaan air yang semakin meningkat serta mengurangkan tekanan terhadap sumber air bersih.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, meskipun isu air terletak di bawah bidang kuasa negeri, agensi persekutuan seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan entiti kawal selia baharu, Agensi Tujuan Khas Kawal Selia dan Menyelaras Perkara Berkaitan Air (SPARC) sedang giat menyelaras bersama pengendali utiliti untuk memastikan penggunaan air yang adil, cekap dan mampan.
Selain merangka tarif, kerajaan turut menggalakkan penggunaan air kitar semula dan pembangunan sistem penyejukan berpusat, terutamanya bagi sektor yang menggunakan air dalam jumlah besar seperti pusat data.
"Pada masa sama, kita menggalakkan semua pusat data mahupun pemain industri untuk menggunakan air kitar semula. Jadi inilah bahagian yang akan kita lihat.
"Kedua, kita mahu kerajaan negeri mewujudkan zon khas agar kita dapat membangunkan sistem penyejukan berpusat bagi semua penggunaan air berskala besar, supaya ia dapat diurus dengan lebih berkesan dan efisien, serta tidak wujud persaingan mendapatkan air bersih untuk kegunaan manusia," katanya pada sesi soal jawab 'Ministerial Luncheon Talk: Driving the Green Energy Transition", di sini.
Menurut beliau, struktur tarif air khas untuk pusat data kini sedang dalam proses perincian. Matlamatnya adalah untuk melindungi pengguna domestik daripada menanggung kos subsidi silang yang selama ini berpunca daripada penggunaan besar oleh sektor industri.