fb fb fb fb fb

Bot bertembung di Sungai Paka, seorang nelayan maut

Lokasi kejadian di Sungai Paka, Dungun, Terengganu.

DUNGUN, 6 Ogos - Seorang nelayan maut manakala seorang lagi cedera selepas bot gentian kaca yang dinaiki mereka bertembung di Sungai Paka, di sini, kira-kira pukul 6 pagi tadi.

Mangsa, Mohd Rashid Jusoh, 58, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Paka kira-kira pukul 7 pagi. Seorang lagi nelayan, Ismail Abdul Rahman, 73, mengalami kecederaan ringan dan turut menerima rawatan di klinik sama.

Ketika kejadian, kedua-dua mangsa dilaporkan sedang dalam perjalanan keluar menangkap ikan, manakala sebuah bot lain sedang menuju masuk ke Jeti Nelayan Kuala Paka. Bot dinaiki mangsa dipercayai dilanggar pada bahagian hadapan oleh bot tersebut, menyebabkan Mohd Rashid tercampak ke dalam sungai.

Saksi kejadian, Rosli Md Lazim, 54, berkata beliau ternampak bot mangsa terbalik di kuala sungai itu ketika suasana masih gelap. Menurutnya, dia segera menghampiri lokasi dan mendapati mangsa terapung di permukaan air dalam keadaan lemah sambil cuba berpaut pada bot.

Rosli bersama beberapa nelayan lain kemudian membantu menarik mangsa ke atas bot sebelum dibawa ke jeti untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar. Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN