fb fb fb fb fb

AAIMS 2025, usaha perkukuh ekosistem AI ASEAN

Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Fabian Bigar/Foto FB Kementerian Digital

PUTRAJAYA, 6 Ogos - Lebih 1,500 delegasi dijangka hadir pada Sidang Kemuncak ASEAN Kecerdasan Buatan (AAIMS) 2025 yang dijadual berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC), Kuala Lumpur, bermula 12 hingga 13 Ogos ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Fabian Bigar berkata, sidang itu bakal menyaksikan kehadiran beberapa Menteri Digital dari negara serantau serta pemain utama dalam ekosistem Kecerdasan Buatan (AI).

"Setakat ini, saya dimaklumkan Singapura dan Kemboja akan hadir. Sementara tiga atau empat Menteri ASEAN lagi, kehadiran belum dapat dipastikan.

"Turut dijadual hadir Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn, sebagai individu penting pada sidang ini. Jadi Menteri-menteri ASEAN akan ada dialog antara mereka bagi membincangkan masa depan AI di rantau ini," katanya.

Fabian ditemui selepas menyampaikan taklimat khas media mengenai AAIMS 2025, di sini.

Sidang kemuncak tersebut dijangka membuahkan hasil menerusi kerjasama strategik antara negara-negara anggota sebagai usaha memperkukuh ekosistem AI di rantau ini.

"Tiga perkara penting, yang pertama kenyataan bersama Menteri-Menteri Digital mengenai AI di ASEAN. Kedua, rangka kerja prinsip AI di rantau. Ketiga, memperkukuh ekosistem AI di rantau ini," tambah beliau.

AAIMS 2025 turut bakal menyaksikan pelancaran Dasar Pengkomputeran Awan Negara (NCCP) yang menggariskan visi Malaysia untuk memperkukuh infrastruktur awan negara, mempromosikan tadbir urus data yang diyakini dan selamat, serta mempercepatkan penerimaangunaan teknologi awan merentas sektor awam dan swasta.

Mengulas mengenai persediaan Malaysia selaku Pengerusi AAIMS 2025, Fabian memaklumkan segala persiapan berjalan dengan lancar dan pihaknya kini sedang memuktamadkan beberapa perkara yang belum selesai.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI