fb fb fb fb fb

Iran gesa Malaysia terus terajui usaha bela Palestin

Foto- FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 6 Ogos - Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, menzahirkan penghargaan terhadap pendirian tegas Malaysia dalam isu Gaza dan menggesa Kuala Lumpur terus mendepani usaha diplomatik menentang kekejaman serta genosid di Palestin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata penghargaan itu disampaikan menerusi panggilan telefon yang diterima beliau hari ini.

Menurutnya, Malaysia kekal konsisten bukan sahaja melalui kenyataan lantang di pentas antarabangsa, malah dengan menggembleng kerjasama bersama pemimpin serantau dan global termasuk Presiden Indonesia, Turkiye, Brazil dan Afrika Selatan.

“Dunia tidak boleh terus berdiam diri tatkala kekejaman terhadap rakyat Palestin semakin melampaui batas kemanusiaan,” katanya.

Kedua-dua pemimpin turut membincangkan hubungan dua hala Malaysia-Iran dan bersepakat untuk memperkukuh persahabatan, khususnya dalam bidang yang memberi manfaat bersama kepada rakyat kedua-dua negara.

Pezeshkian turut memanjangkan jemputan rasmi kepada Datuk Seri Anwar untuk mengadakan lawatan ke Tehran dalam masa terdekat, yang disambut dengan penghargaan oleh Perdana Menteri.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN