fb fb fb fb fb

Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang diperluas ke sektor industri

Foto FB Jabatan Penerangan Malaysia

PUTRAJAYA, 6 Ogos - Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) akan memperluas Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) di pelbagai lokasi seluruh negara bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan ke-68 dan Hari Malaysia 2025.

Pengarah Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat JAPEN, Muhammad Najmi Mustapha berkata, selain sektor awam program akan melibatkan kerjasama dengan pihak industri.

"Kita tidak hanya bekerjasama dengan agensi kerajaan, malah peringkat industri. Kita buat kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang mana kita berhasrat untuk menyemarakkan sambutan di lokasi-lokasi seperti di stesen minyak dan pasaraya yang terpilih.

"Ini akan kita laksanakan dalam masa terdekat," katanya ketika ditemui selepas menyerahkan kit Jalur Gemilang kepada Ketua Balai Polis Presint 11, subinspektor Amir Jaafar, bersempena 1R1JG peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, di sini.

Tambah beliau, selain Lembah Klang, program akan diperluaskan di kawasan - kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

"JAPEN bersama dengan Bahagian Kawal Selia FELDA dan Jabatan Perdana Menteri untuk kita menyemarakkan sambutan menerusi perarakan konvoi dan pemasangan Jalur Gemilang di kawasan FELDA. Terkini akan melibatkan kawasan FELDA di Negeri Sembilan," ujar beliau.

Selain itu katanya, penganjuran di peringkat negeri pula akan dilaksanakan JAPEN negeri dengan kerjasama Komuniti MADANI.

"Kita ada 188 komuniti MADANI di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Di situ juga kita buat program semarakkan bulan kebangsaan.

"Kita akan bersama komuniti untuk pasang bendera dan adakan aktiviti kenegaraan di peringkat komuniti. Itu kita kata sesi turun padang," tambahnya lagi.

Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang akan berlangsung sehingga sambutan Hari Malaysia pada 16 September depan.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI