CYBERJAYA, 6 Ogos – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersedia memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam membangunkan potensi tenaga nuklear di Malaysia.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, tenaga nuklear antara bidang strategik yang diberi tumpuan oleh MOSTI dan turut diberi penekanan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“MOSTI sememangnya berhasrat untuk bersama-sama meneroka penjanaan elektrik daripada tenaga nuklear bersama PETRA.
Bagi pihak MOSTI, kami akan memainkan peranan dalam aspek pembangunan teknologi, bakat serta kerangka kawal selia,” katanya selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa mengenai Diplomasi Sains demi Kesejahteraan Serantau ASEAN di sini, hari ini.
Menurutnya, kerjasama antara kedua-dua kementerian bukan perkara baharu dan mencerminkan pendekatan menyeluruh kerajaan dengan menghubungkan semua pihak berkepentingan.
Jelas beliau, Enam pasukan petugas telah ditubuhkan untuk memacu pembangunan tenaga nuklear, masing-masing tiga diketuai oleh MOSTI dan tiga lagi oleh PETRA.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan RMK13 menyatakan, kerajaan mempertimbangkan tenaga nuklear sebagai salah satu sumber tenaga bersih yang selamat dan berdaya saing.