SEBERANG JAYA, 8 November - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan projek penyuraian trafik perlu dilaksanakan dengan segera bagi mengatasi kesesakan yang sekian lama membelenggu kawasan utara Semenanjung.
Menurutnya, masalah kesesakan di Juru dan Sungai Dua bukan perkara baharu dan sudah menjadi rungutan utama rakyat di utara tanah air sejak bertahun-tahun.
“Saya ingat dah belasan tahun setiap kali saya ke Perak, ke Pulau Pinang, ke Kedah, semuanya mengeluh tentang kesesakan. Alhamdulillah, hal yang tertangguh sekian lama dapat dilaksanakan hari ini,” katanya.
Perdana Menteri menjelaskan, walaupun unjuran tempoh pembinaan projek tersebut dijangka antara dua hingga empat tahun, kerajaan mahu pelaksanaan disegerakan agar rakyat dapat menikmati hasil pembangunan dengan pantas.
“Walaupun unjurannya entah 24 bulan, 48 bulan, saya tak peduli. Yang penting ambil langkah segera dan percepatkan proses supaya pelaksanaan itu menyenangkan rakyat,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa kementerian berkaitan akan memantau rapat kemajuan projek itu bagi memastikan ia berjalan mengikut jadual.
“Kementerian akan pantau supaya dapat disegerakan. Kerajaan negeri di bawah ketua menteri sudah beri jaminan untuk percepatkan kerana melibatkan soal teknikal dengan majlis bandaran,” tambah beliau.
Datuk Seri Anwar turut menekankan bahawa setiap penjimatan masa dalam pelaksanaan projek infrastruktur mampu memberi kesan ekonomi besar kepada negara dan keselesaan kepada rakyat.