KUALA LUMPUR, 8 November - Seni bela diri bukan sekadar teknik mempertahankan diri, malah menjadi asas penting dalam membentuk disiplin, jati diri dan keyakinan dalam kalangan generasi muda masa kini.
Menurut Timbalan Presiden Pahlawan Khalifah Taekwondo Nazreen Ameer, Taekwondo bukan sahaja mengajar cara mempertahankan diri, tetapi turut menekankan nilai disiplin yang tinggi dalam kalangan pelajar.
“Disiplin merupakan elemen penting yang diterapkan dalam setiap sesi latihan. Seni bela diri seperti Taekwondo sememangnya berkait rapat dengan pembentukan disiplin diri,” katanya.
Beliau menjelaskan anak muda masa kini semakin berani mencuba perkara baharu, namun ada yang terjebak dalam aktiviti yang tidak bermanfaat.
Melalui latihan Taekwondo, pelajar dididik supaya lebih bersedia menghadapi cabaran serta memahami kepentingan kawalan diri.
“Jurulatih memainkan peranan penting untuk membentuk pelajar menjadi lebih berdisiplin. Disiplin bukan hanya tentang sikap, tetapi juga pengurusan masa. Kita ajar mereka supaya menepati waktu dan menghormati rutin latihan,” tambahnya.
Beliau turut menekankan bahawa konsep disiplin dalam Taekwondo amat luas, merangkumi aspek sikap, tumpuan, serta fokus dalam pelajaran.
Latihan yang konsisten membantu pelajar menjadi lebih teratur dan mampu memberi tumpuan dalam pembelajaran harian.
Selain itu, Nazreen turut berkongsi latihan Taekwondo tidak hanya menumpukan kepada teknik pukulan atau tendangan semata-mata.
Sebaliknya, latihan kini dijalankan secara kreatif dan interaktif bagi menarik minat pelajar generasi baharu yang mudah bosan dengan aktiviti berulang.
“Kami faham generasi sekarang sukar untuk fokus jika hanya melakukan latihan rutin. Sebab itu jurulatih menggunakan pendekatan sambil belajar, sambil bermain bagi menjadikan sesi latihan lebih menarik dan menyeronokkan,” jelas beliau semasa menjadi tetamu dalan program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri di sini.
Beliau turut menekankan seni bela diri harus digunakan dengan cara yang betul bukan untuk menindas orang lain, tetapi sebagai alat untuk membina keyakinan, mengawal emosi dan mencegah perbuatan buli di sekolah.