fb fb fb fb fb

Dasar cukai dilaksana secara adil, berpaksikan keupayaan rakyat - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Penyuraian Trafik di antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua (PTJSD) di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Kawasan Sekitar PTJSD hari ini / Foto BERNAMA

SEBERANG JAYA, 8 November - Dasar cukai bawah kerangka Ekonomi MADANI dilaksanakan secara adil dan berpaksikan keupayaan sebenar rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak dakwaan sesetengah pihak kononnya kerajaan mengenakan cukai kepada golongan berpendapatan rendah, sedangkan langkah fiskal baharu ini hanya tertumpu kepada mereka yang mampu.

“Kerana pendekatan dan kerangka Ekonomi MADANI, kita tekankan cukai tentu bagi yang mampu bayar. Elektrik, 85% tak (tidak) perlu bayar. Tingkat tarif tak (tidak) meningkat,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Penyuraian Trafik antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua di Tapak Ekspo Seberang Jaya, hari ini.

Jelas beliau, pelaksanaan cukai dan penstrukturan semula subsidi dilakukan dengan teliti bagi mengelak beban tambahan kepada rakyat majoriti.

Menurutnya, keputusan kerajaan menetapkan kadar baharu bagi tenaga dan bahan api dibuat selepas penelitian bersama Kementerian Kewangan serta institusi kewangan antarabangsa.

"Kerajaan juga sentiasa berhati-hati dalam mengimbangi keperluan mengurangkan hutang negara dengan tanggungjawab sosial terhadap rakyat yang masih memerlukan bantuan," tambahnya lagi.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa setiap keputusan ekonomi dibuat berasaskan data dan fakta, bukan dipengaruhi sentimen politik, kaum atau agama.

Tegas beliau, kerajaan mahu memastikan pertumbuhan ekonomi negara disertai keadilan sosial yang nyata kepada semua lapisan masyarakat.

EMMI NORALIZA ADNAN