fb fb fb fb fb

Taman Botani DiRaja Johor dibuka kepada orang awam mulai 31 Ogos

Foto Facebook Onn Hafiz Ghazi

JOHOR BAHRU, 6 Ogos -Taman Botani DiRaja Johor yang dibangunkan sejak tahun 1864 akan dibuka kepada orang awam mulai 31 Ogos ini.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi hantaran di Facebook berkata, pembukaan taman bersejarah itu merupakan antara inisiatif utama dalam menjayakan agenda Tahun Melawat Johor 2026.

"Meliputi kawasan seluas lebih 126 ekar, taman ini kini menampilkan 12 Taman Khas, dengan lebih 583 spesies flora dan hampir 145,000 batang pokok, hasil kerjasama erat antara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) dan Majlis Perbandaran Pontian (MPPn)," katanya menerusi kenyataan itu.

Menurut beliau, taman itu akan dibuka kepada pengunjung setiap hari bermula pukul 8.00 pagi hingga 6.00 petang, kecuali Isnin dan Selasa yang diperuntukkan untuk kerja-kerja penyelenggaraan.

Bayaran masuk sebanyak RM2 akan dikenakan kepada warganegara, manakala kemasukan adalah percuma bagi kanak-kanak bawah lima tahun serta pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU).

"Ayuh Bangsa Johor! Mulai 31 Ogos ini, bawalah keluarga dan rakan-rakan untuk menerokai Taman Botani DiRaja Johor ini! Semoga kehadiran anda semua akan memeriahkan lagi pembukaan sekali gus menjayakan agenda Tahun Melawat Johor 2026. Insya-Allah," katanya lagi.

TETITIA YUSOFF