fb fb fb fb fb

Tali pinggang keledar wajib untuk penumpang bas mulai 1 Julai – JPJ

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar ke atas semua pemandu dan penumpang bas ekspres serta bas persiaran bermula 1 Julai ini / Foto Hiasan / Bernama

KOTA BHARU, 29 Jun – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar ke atas semua pemandu dan penumpang bas ekspres serta bas persiaran bermula 1 Julai ini, melibatkan bas yang dibina selepas Januari 2020.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata bagi bas yang dibina sebelum tahun 2020, tempoh masa akan diberikan untuk pemasangan tali pinggang keledar dilaksanakan.

“Pelaksanaan penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar terhadap pemandu dan penumpang adalah melibatkan semua bas ekspres dan bas persiaran. Sebelum ini, penguatkuasaan hanya tertumpu kepada pemandu, namun selepas 1 Julai ini tindakan tegas akan turut dikenakan ke atas penumpang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Perhimpunan Setia JPJ Malaysia di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), di sini.

Menurut beliau, penumpang atau pemandu yang ingkar arahan tersebut akan dikenakan saman sebanyak RM300.

Selain itu, pemandu yang gagal memberikan peringatan kepada penumpang juga akan dikenakan saman bersama syarikat pengendali bas yang terlibat.

Tambah beliau, sebelum ini pihak JPJ mengambil pendekatan berbentuk advokasi, namun dengan pelaksanaan baharu tersebut, penguatkuasaan akan dilaksanakan sepenuhnya.

Dalam perkembangan lain, Datuk Aedy Fadly turut memaklumkan JPJ telah menjalankan Op Khas Pemeriksaan dan Audit Keselamatan JPJ (JISA) bermula 23 Jun lalu, yang melibatkan pengauditan terhadap syarikat pengendali kenderaan perdagangan di seluruh negara.

Dalam tempoh empat hari pelaksanaan operasi tersebut, sebanyak 133 syarikat telah diaudit dan 64 peratus daripadanya gagal mematuhi peraturan-peraturan mandatori di bawah JISA.

“Daripada jumlah tersebut, hanya 48 syarikat lulus audit manakala 85 syarikat lagi gagal,” katanya.

Antara kegagalan utama syarikat yang diaudit termasuk tidak melantik pegawai atau penyelaras keselamatan dan kesihatan pekerjaan, tiada pemasangan GPS pada semua kenderaan, pemantauan GPS tidak dilakukan oleh syarikat dan tiada rekod syarat pemanduan tidak melebihi lapan jam sehari.

Selain itu, tiada rekod rehat 30 minit setiap empat jam pemanduan, tidak menyediakan pelan tindakan keselamatan dan tiada nombor hotline dan nama pegawai syarikat dipaparkan pada kenderaan.

"Syarikat yang gagal mematuhi peraturan, JPJ akan mengesyorkan tindakan penggantungan atau pembatalan lesen pengendali kenderaan perdagangan kepada pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD)," tambah Datuk Aedy Fadly.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN