JOHOR BAHRU, 29 Jun – Hospital Pasir Gudang (HPG), sebuah hospital pakar baharu di sini dijadual mula beroperasi secara berperingkat bermula 1 Ogos ini bagi membantu mengurangkan kesesakan di hospital sedia ada di negeri itu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, HPG merupakan hospital pakar kelapan di Johor dengan kos keseluruhan sebanyak RM500 juta, dibina di kawasan seluas 20.6 hektar dan dilengkapi sebanyak 304 katil serta menyediakan 14 perkhidmatan kepakaran.
Menurut beliau, HPG juga merupakan hospital awam pertama di negara ini yang menyediakan 20 bilik rehat khas untuk doktor pakar (on-call suite), sebagai satu langkah memperkukuh kebajikan petugas kesihatan.
“Ini akan melibatkan lebih kurang 30 peratus operasi bagi perkhidmatan teras (core services) seperti Jabatan Kecemasan dan Trauma (A&E), Pembedahan (Surgical), Pediatrik serta Obstetrik dan Ginekologi (O&G) dalam fasa pertama. Kita jangka hospital ini akan beroperasi sepenuhnya menjelang Julai 2026, dengan melibatkan lebih 1,800 kakitangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Hospital Pasir Gudang yang berlangsung di Bandar Baru Seri Alam, di sini.
Dr Dzulkefly berkata, pembangunan hospital berkenaan akan menjadi penanda aras baharu bagi fasiliti kesihatan awam negara, khususnya dalam aspek kelengkapan dan kepakaran.
Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan (KKM) turut mengambil langkah sewajarnya bagi menangani isu kekurangan jururawat, termasuk dengan meningkatkan pengambilan jururawat pelatih kepada 1,000 orang.