JOHOR BAHRU, 29 Jun – Kerajaan sedang merangka penubuhan ekosistem kesihatan baharu sebagai langkah menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan swasta dan inflasi perubatan yang kian membimbangkan ketika ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata perkara itu sedang dibincangkan di peringkat kementerian melibatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Kewangan, menerusi Jawatankuasa Bersama Menangani Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS).
“Kesemua ini akan mewujudkan satu ekosistem baharu, dengan memberi tumpuan bukan sahaja kepada fasiliti, tetapi juga menangani inflasi kos. Kita memperkenalkan satu pendekatan berasaskan insurans secara sukarela di bawah kerangka MHIT (Malaysian Health Insurance Transformation),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Hospital Pasir Gudang, di Bandar Baru Seri Alam, di sini.
Dalam pada itu, antara inisiatif yang turut dilaksanakan oleh kementerian termasuk paparan harga ubat-ubatan secara telus bagi membolehkan pengguna membuat perbandingan dan pilihan sebelum mendapatkan rawatan.
Sementara itu, Dr Dzulkefly turut memaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM) telah menerima permohonan daripada Kerajaan Negeri Johor untuk membangunkan projek Rumah Mampu Milik Johor di atas tanah milik kementerian di Kempas.
Menurut beliau, permohonan tersebut akan dipertimbangkan sebaiknya oleh pihak kementerian.