fb fb fb fb fb

Taklimat Projek 5G Kebangsaan kepada Pemuda UMNO, 1 Julai

KUALA LUMPUR, 26 Jun- Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) menawarkan satu taklimat khas berkaitan pelaksanaan Projek 5G Kebangsaan kepada Pemuda UMNO.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa dalam satu kenyataan berkata taklimat itu bagi memberi penjelasan lebih tuntas dan terperinci seperti yang pernah dilakukan sebelum ini kepada ahli parlimen kerajaan, pembangkang serta pemegang taruh.

Menerusi satu kenyataan, beliau memaklumkan, pihaknya sudah meneliti memorandum yang dikemukakan Pemuda UMNO kepada K-KOMM, selain memanjangkannya kepada Kementerian Kewangan (MOF) susulan kebanyakan intipati memorandum di bawah bidang kuasa MOF.

Selaku pemimpin muda, Tan Sri Annuar menghormati hak Pemuda UMNO untuk mendapatkan penjelasan lebih mendalam mengenai perkara tersebut.


(Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa)

"Memandangkan majlis dan penjelasan ini amat penting bagi membolehkan golongan muda dan pemimpin parti mendapat penjelasan dan maklumat terkini, saya juga akan memanjangkan jemputan ini kepada beberapa pemimpin sayap Puteri dan Pergerakan Wanita UMNO.

"Semoga melalui majlis ini, semua persoalan yang dibangkitkan dapat dijelaskan secara terperinci oleh agensi yang terbabit," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Taklimat tersebut dijadualkan berlangsung pada 1 Julai ini.

Media Baharu