AYER KEROH, 26 Jun- Ahli Persatuan Pandu Puteri Malaysia disaran menjadi contoh mendidik masyarakat mengenai pentingnya pemuliharaan alam sekitar untuk keseimbangan alam semula jadi.
Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah, melalui kesedaran itu, masyarakat dapat memain peranan lebih aktif dan menggembleng tenaga melindungi alam sekitar demi masa depan generasi akan datang.
"Dunia perlu dijaga, itu adalah tanggungjawab kita semua bersama. Dalam kata lain peranan manusialah yang sebenarnya mencorak dan dan menjaga bumi ini. Sikap memelihara dan memulihara bumi ini tidak boleh dipandang enteng.
"Maka saya mengajak diri saya dan hadirin sekalian agar kita bersama-sama memainkan peranan menjadi warga dunia yang bertanggungjawab. Jika bukan kita yang menjaga dunia ini, siapa yang hendak mempedulikannya," titah baginda.
Baginda bertitah demikian semasa pada perasmian Persidangan Pandu Puteri dan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-57 PPPM bertemakan 'Dunia Kita, Masa Depan Kita Bersama, Our World, Our Equal Future' di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh.
Hadir sama, Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin.
(Tunku Hajah Azizah (tengah) berkenan bergambar bersama pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan
Pandu Puteri Malaysia kali ke-57 tahun 2022 di MITC, Ayer Keroh/ FB Kerajaan Negeri Melaka)
Pada majlis berkenaan 142 orang menerima 14 anugerah daripada persatuan itu, iaitu Lencana Seumur Hidup (36 orang), Pingat Jasa (15 orang), Pingat Agok Bakti Lebah (tiga orang), Pingat Jasa Lama 20 Tahun (dua orang), Lencana Jurulatih (seorang), Mutiara IV (empat orang), Pingat Layang-layang (empat orang).
Selain itu, Bintang Kehormatan (seorang), Asia Pacific Leadership Award for Service to Girl Guiding/ Girl Scouting (empat orang), Asia Pacific Leadership Award for District/ State Leaders (Commisioners) (lapan orang), Asia Pacific Leadership Award for Troop/ Unit Leaders (dua orang), Anugerah Pandu Puteri Raja (59 orang) dan Anugerah Srikandi (tiga orang).
Selain itu, Anugerah Apresiasi turut diberikan kepada Temasek Foundation International, Singapura selepas PPPM menerima 5,000 khemah kiub untuk diagihkan ke semua cawangan PPPM bagi sebarang perkhidmatan semasa bencana.