GEORGE TOWN, 11 Jun - Kerajaan memutuskan tajaan dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan diteruskan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu berdasarkan situasi semasa yang mana masih terdapat keperluan bagi sektor-sektor berkenaan di dalam negara.
“Sejak minggu lalu saya ada perjumpaan khas dengan JPA dan mereka kata itu (menghentikan tajaan) adalah dasar sedia ada, dasar yang lalu.
"Jadi, saya minta dikaji semula berdasarkan unjuran kita yang mana keperluan sektor perubatan, pergigian dan farmasi itu masih ada. Maknanya, program biasiswa JPA untuk sektor-sektor ini akan diteruskan,” katanya dalam program Temu Anwar@USM di Dewan Tuanku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM), di sini.
Beliau menjawab soalan salah seorang peserta program itu yang juga mahasiswa USM berhubung keputusan kerajaan menghentikan penajaan JPA dalam bidang berkenaan.
Berita Berkaitan:
KKM, JPA kaji semula keputusan henti taja bidang perubatan - Zaliha