ISKANDAR PUTERI, 22 Mei- Sebanyak RM3.6 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja penambahbaikan fasiliti dan kemudahan awam di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar (KWSAB), di bawah seliaan Yayasan Warisan Johor (YWJ).
Menurut Exco Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar, projek pembangunan fizikal itu adalah sebahagian daripada persiapan menjelang Tahun Melawat Johor 2026 yang bakal menjadikan negeri ini tumpuan pelancongan budaya.
Antara komponen utama projek ini ialah kerja-kerja awal di Zon A (Zon Tiba) yang merangkumi pembinaan tangga baharu di Laman Seri Gelam, laluan mesra Orang Kurang Upaya (OKU), pemasangan pagar perimeter dan penyediaan hentian bas baharu.
Sementara itu, Zon E (Zon Komersial) akan menyaksikan pembinaan galeri kulinari, kedai cenderamata dan kawasan tempat letak kereta bagi kemudahan pengunjung.
Turut terlibat dalam projek berkenaan ialah penyediaan sistem sokongan seperti sistem audio luaran dan siar raya, sistem tiket dan turnstile, pemasangan papan tanda serta pembinaan arca sebagai elemen visual tarikan pelancong.
“Kerajaan Negeri melalui Yayasan Warisan Johor komited untuk memastikan Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar bukan sahaja menjadi simbol identiti sejarah negeri Johor, tetapi juga sebagai pemangkin kepada pelancongan budaya di negeri ini,” ujar Raven Kumar.
Projek naik taraf itu dijadualkan bermula pada Julai hingga Disember 2025 dan bakal memberi wajah baharu kepada KWSAB sebagai salah satu mercu tanda warisan negeri Johor.