Tahun Kuda 2026 pacu pertumbuhan ekonomi lebih baik

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina MCA/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 Februari – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Tahun Baharu Cina yang juga ‘Tahun Kuda’ mencerminkan harapan terhadap pertumbuhan ekonomi yang lebih rancak dan memberangsangkan pada tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tahun Kuda simbolkan semangat berapi, kepantasan dan tenaga luar biasa memacu pembangunan negara.
  • Tahun ini diharapkan menyaksikan pertumbuhan ekonomi lebih rancak dan prestasi rakyat Malaysia lebih baik.
  • Acara rumah terbuka MCA 2026 dirai meriah dengan kehadiran pelbagai bangsa dan persembahan tradisi.

Datuk Seri Anwar berkata, Tahun Kuda juga melambangkan ‘semangat berapi’, kepantasan dan tenaga luar biasa dalam memacu pembangunan negara.

“Tahun Kuda ini, tahun kuda berapi yang memacu pertumbuhan yang lebih hebat dan segar, kuda menjadi simbol kencang dan kekuatan tenaga yang hebat.

“Menunjukkan mudah-mudahan memberi prestasi ekonomi, pembangunan rakyat Malaysia akan jauh lebih baik pada tahun ini,” katanya dalam ucapan ringkas selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina MCA 2026 hari ini.

Majlis turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Pada majlis itu, Perdana Menteri tidak ketinggalan menggaul hidangan Yee Sang sebagai simbolik sebelum menjamu selera hidangan juadah lazat.

Majlis berkenaan juga dihadiri lebih 1,000 tetamu pelbagai bangsa, selain dimeriahkan persembahan tarian singa dan nyanyian.