JITRA, 31 Oktober- Tahap kesedaran dan pematuhan pemandu terhadap peraturan dan akta-akta terutamanya membabitkan kenderaan komersial masih berada pada tahap yang rendah.
Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan berkata akta tersebut termasuk Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya.
"JPJ memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan pihak syarikat, pemilik dan pemandu kenderaan komersial termasuk mana-mana pengguna jalan raya yang masih tegar melanggar undang-undang dan peraturan yang ditetapkan tanpa pengecualian," kata Lokman kepada pemberita selepas Op Khas Kenderaan Komersial di Plaza Tol Jitra, Kedah, malam tadi.
Operasi turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Dalam pada itu, Datuk Lokman berkata melalui Op Patuh Khas 2023 sepanjang bulan ini, pihaknya telah memeriksa dan mengaudit pematuhan ke atas 321,263 buah kenderaan termasuk kenderaan komersial.
Hasil pemeriksaan dan pengauditan dalam tempoh 1 hingga 30 Oktober, sebanyak 73,296 notis dikeluarkan kepada pihak syarikat, pemilik dan pemandu di atas pelbagai kesalahan.
73,296 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan 4,515 daripadanya melibatkan kesalahan lebih muatan, 19,905 membabitkan kesalahan teknikal, 11,813 notis kerana tiada lesen memandu yang sah manakala 6,085 tiada lesen vokasional.
Selain itu, kesalahan LKM tamat tempoh melibatkan 9,947 notis, tiada insurans 6,626 notis dan kesalahan utama lalu lintas pula 5,762 notis.
Sitaan sebanyak 705 buah kenderaan turut dilaksana JPJ, dengan 16 buah daripadanya melibatkan kesalahan lebih muatan yang ekstrem.
JPJ menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan dilaksana secara berterusan bagi meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya.