fb fb fb fb fb

Tahap kesejahteraan rakyat Malaysia terus meningkat dipacu kemajuan ekonomi, pengukuhan sosial

Subkomposit ekonomi kekal sebagai penyumbang utama, diikuti subkomposit sosial dan subkomposit alam sekitar/ Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 19 Disember - Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) pada 2024 meningkat kepada 120.6 mata berbanding 119.4 pada 2023.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, subkomposit ekonomi kekal sebagai penyumbang utama melalui peningkatan 2.2 mata indeks kepada 128.8, diikuti subkomposit sosial 1.1 mata indeks dan subkomposit alam sekitar 0.2 mata indeks.

"Bagi subkomposit ekonomi, komponen pendapatan dan pengagihan merekodkan peningkatan tertinggi pada 2024 iaitu 5.9 mata indeks, diikuti pengangkutan dengan 3.4 mata indeks dan komunikasi 0.1 mata indeks.

"Pencapaian ini menandakan pemulihan ekonomi yang semakin kukuh serta pengagihan pendapatan yang lebih seimbang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dari segi subkomposit sosial, peningkatan indeks dicatatkan melalui enam komponen iaitu penyertaan sosial 5.1 mata indeks, tadbir urus 4.7 mata indeks, perumahan 1.7 mata indeks, hiburan dan rekreasi 1.7 mata indeks, kebudayaan 0.4 mata indeks serta keselamatan awam 0.1 mata indeks.

Subkomposit alam sekitar turut menunjukkan perkembangan positif dengan peningkatan dalam komponen udara 1.1 mata indeks dan sumber biodiversiti, 0.2 mata indeks.

"Penambahbaikan indikator alam sekitar memberi tumpuan kepada pelepasan gas rumah kaca, akses kepada air paip yang dirawat serta keluasan hutan yang dilesenkan untuk pengusahasilan," katanya.

Berkongsi pencapaian di peringkat negeri, Datuk Seri Dr Mohd Uzir berkata, kebanyakan negeri mencatatkan peningkatan, dengan Kelantan merekodkan peningkatan tertinggi sebanyak 2.0 mata indeks, diikuti Kedah dan Sarawak masing masing meningkat 1.8 mata indeks, serta Sabah 1.3 mata indeks.

Sarawak mencatatkan peningkatan paling ketara dalam subkomposit ekonomi dengan 3.7 mata indeks, Kedah merekodkan peningkatan tertinggi dalam subkomposit sosial dengan 3.0 mata indeks, manakala Negeri Sembilan menunjukkan peningkatan ketara dalam subkomposit alam sekitar dengan 4.7 mata indeks.

Menurut beliau, IKRM 2024 mengesahkan bahawa kesejahteraan rakyat Malaysia terus meningkat, dipacu oleh kemajuan ekonomi, pengukuhan sosial dan penambahbaikan dalam aspek alam sekitar.

"Penambahbaikan indikator yang dilaksanakan menjadikan IKRM lebih mantap sebagai rujukan utama kerajaan dalam merangka dasar pembangunan mampan yang menekankan kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam," katanya.

IKRM dibangunkan bagi memberi gambaran mengenai tahap kesejahteraan rakyat menggunakan 14 komponen yang meliputi subkomposit kesejahteraan ekonomi dan subkomposit kesejahteraan sosial.

MASNIZA AWANG KECHIK