BANGKOK, 19 Disember - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berada di sini sempena Sukan SEA Thailand 2025 mencemar duli melawat Sekretariat Kontinjen Malaysia di The Grand Fourwings Convention Hotel, Bang Kapi.
Kunjungan itu bagi memberi dorongan serta sokongan moral kepada seluruh anggota Kontinjen Malaysia yang sedang bertanding dalam Sukan SEA Thailand 2025.
Turut berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda kedua baginda, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Keberangkatan Baginda berdua disambut Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) merangkap Ketua Kontinjen Malaysia, Nurul Huda Abdullah; Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nasir Ali serta warga kerja Majlis Olimpik Malaysia.
Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Panel Timbang Tara Sukan SEA Thailand, Datuk M. Rajasekaran.