fb fb fb fb fb

Perkeso kaji skim perlindungan keselamatan kepada 400,000 pekerja rentas Singapura

Datuk Seri R. Ramanan

KUALA LUMPUR, 19 Disember - Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mengarahkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menjalankan kajian menyeluruh bagi menyediakan skim perlindungan keselamatan khusus kepada kira-kira 400,000 rakyat Malaysia yang berulang-alik untuk bekerja di Singapura.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata, langkah itu juga bertujuan memastikan golongan berkenaan tidak tercicir daripada jaringan perlindungan sosial negara.

Kumpulan pekerja rentas sempadan itu berdepan risiko kemalangan tinggi, khususnya ketika perjalanan pergi dan pulang dari tempat kerja namun masih belum mempunyai perlindungan menyeluruh di bawah skim sedia ada.

"Skim Pengembara, rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura angka dia hampir 400,000 pekerja tempatan yang melintas Tambak Johor setiap hari.

"Jadi menerusi kajian, Perkeso memang ambil maklum perkara ini dan saya arahkan mereka untuk cari satu jalan bagaimana kita boleh memberikan mereka satu perlindungan untuk menjaga keselamatan mereka dan juga supaya mereka tidak tercicir daripada mendapat perlindungan keselamatan sosial," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Menara Perkeso, di ibu negara hari ini.

Kerajaan komited untuk melaksanakan Skim Lindung 24 Jam bawah Perkeso, yang telah diluluskan melalui pindaan undang-undang di Parlimen, bagi memberikan perlindungan kemalangan bukan bencana kerja kepada pekerja, termasuk di luar waktu bekerja.

Skim berkenaan dijangka memberi manfaat kepada lebih 10 juta pencarum aktif sektor formal dan akan dilaksanakan secara berperingkat menjelang suku pertama hingga suku kedua 2026.

Pelaksanaan skim tersebut merupakan antara langkah reformasi utama bagi memperkukuh sistem keselamatan sosial negara agar lebih responsif terhadap keperluan pekerja masa kini.

Untuk memastikan perkhidmatan terbaik kepada pekerja sektor formal dan tidak di Malaysia, kerajaan mengarahan Perkeso supaya semua permohonan faedah, meliputi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789), Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) dan Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (Akta 838) boleh dibuat secara dalam talian.

Pengoperasian penuh portal Lindung Faedah akan membabitkan permohonan faedah Hilang Upaya Kekal (HUK), Hilang Upaya Sementara (HUS), Pencen Ilat, Penyakit Khidmat, Faedah Orang Tanggungan (FOT) dan Pencen Penakat.

Selain itu, kerajaan turut mengumumkan pengurangan penalti caruman lewat bayar sebanyak 80 peratus kepada majikan yang gagal mendaftar atau membayar caruman Perkeso sebelum ini, dengan syarat semua tunggakan diselesaikan selewat-lewatnya sebelum akhir Februari 2026.

Langkah itu bertujuan menggalakkan pematuhan majikan terhadap undang-undang keselamatan sosial di samping memberi peluang kepada mereka untuk membuat pembetulan tanpa dikenakan penalti penuh.

"Baru-baru ini ada penalti dikenakan untuk majikan yang tidak daftar dan tidak bayar caruman, jadi hari ini Perkeso bersetuju penalti ini dikurangkan, kita bagi 80 peratus diskaun tetapi perlu bayar sebelum hujung Februari 2026," katanya lagi.

Jumlah majikan yang mempunyai tunggakan pembayaran Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) adalah seramai 300,000 dengan jumlah penalti RM157 juta bagi tempoh 2018 hingga kini

Sementara itu, dalam usaha memudahkan urusan pencarum, Ramanan turut mengumumkan, permohonan faedah Perkeso boleh dibuat sepenuhnya secara dalam talian menggunakan telefon pintar atau komputer peribadi bermula 1 Januari 2026.

Menurut beliau, walaupun Perkeso mempunyai 54 pejabat di seluruh negara serta 295 pusat satelit MyFutureJobs, kaedah dalam talian akan mengurangkan kos dan masa perjalanan pencarum, sekali gus meningkatkan kadar akses kepada manfaat yang disediakan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI