fb fb fb fb fb

Program Kampung Angkat, Sekolah Angkat MADANI fokus kebajikan langsung komuniti

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee/ Foto BERNAMA

IPOH, 19 Disember - Program Kampung Angkat MADANI (KAM) dan Sekolah Angkat MADANI (SAM) memberi fokus kepada bantuan kebajikan dan pendidikan secara langsung kepada komuniti serta pelajar melalui pendekatan turun padang.

Esok (Sabtu), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan melaksanakan program ini di Perak, melibatkan kawasan terpilih.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan program tersebut, melibatkan sebuah kampung dan dua buah sekolah.

Bantuan meliputi aspek pendidikan, kebajikan komuniti serta aktiviti pembangunan sahsiah.

"Dengan program yang dihasratkan oleh Kerajaan MADANI, pucuk pimpinan kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta RM1 juta itu dibawa terus ke kampung.

"Memang pihak kampung menerima jumlah yang sama, sebagaimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri.

"Kita bawa RM100,000, sekolah dapat RM100,000, bukan setakat sekolah boleh beli 'smart board', dia boleh juga buat kursus untuk para guru dalam meningkatkan motivasi bagi tujuan pembelajaran dan pengajaran," katanya dalam sidang media selepas sesi temu bual di konti PERAKfm di sini.

Selain Program Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI, turut dilaksanakan Jelajah Peduli Ummah yang memberi penekanan kepada aktiviti ziarah, sumbangan dan penglibatan secara langsung bersama masyarakat setempat.

Majlis Penyerahan Program Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI JAKIM, serta Jelajah Peduli Ummah akan berlangsung pada Sabtu di Kuala Kangsar.

MASNIZA AWANG KECHIK