fb fb fb fb fb

Tahap kesedaran penyakit diabetes di kalangan rakyat Malaysia masih rendah

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 14 November - Sejumlah 1.3 juta daripada 2.6 juta pesakit diabetes tidak menyedari mereka menghidap penyakit itu sehingga menjalani pemeriksaan kesihatan.

Berdasarkan maklumat Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS), peratusan pesakit diabetes di Malaysia meningkat daripada 13.4 peratus pada 2015 kepada 18.3 peratus pada tahun 2019.

Penyakit kencing manis atau nama saintifiknya diabetes bukan sahaja pembunuh dalam senyap, malah juga antara penyakit pembunuh utama di Malaysia selain kanser dan sakit jantung.

Walaupun mempunyai pendedahan mengenai diabates, namun tahap kesedaran di kalangan rakyat Malaysia masih rendah.

Antara faktor risiko diabetes adalah pemakanan, keturunan , faktor usia dan gaya hidup.

Komplikasi akibat diabetes pula adalah strok, penyakit kardiovaskular, masalah penglihatan, penyakit buah pinggang, kerosakan salur darah dan kerosakan saraf.

"Jika kita lihat pesakit diabetes juga sebab kematian mereka juga adalah sakit jantung dan strok iaitu komplikasi utama untuk mereka yang menghidap diabetes tapi malangnya masih ramai rakyat Malaysia yang menghidap diabetes tidak mengetahui bahawa risiko mendapat serangan sakit jntung dan strok adalah sangat tinggi akibat diabetes khususnya jika diabetes tersebut tidak terkawal," kata Timbalan Pengarah (Penyakit Tidak Berjangkit) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr. Feisul Idzwan Mustapha.


(Foto hiasan/ AFP)

Tambahnya, sikap takut dan tidak ingin tahu juga antara punca orang ramai enggan melakukan saringan asas diabetes.

"Antara kekangan-kekangan yang kami kenalpasti kenapa rakyat Malaysia tidak mahu lakukan saringan adalah bukan sukar dapat perkhidmatan atau tiada masa, bukan isu kebolehdapatan, jika ditanya ramai takut, kedua tidak mahu tahu bermaksud sayaboleh kekal buat apa yang saya suka, makan apa saya suka dan tidak mahu aktif," jelas beliau.

Rawatan untuk diabetes boleh dibahagikan kepada perubahan gaya hidup selain ubatan termasuk insulin.

KKM juga akan memanfaatkan idea-idea baharu bagi mengukuhkan rawatan pencegahan serta memperluas ke seluruh negara.

Laporan disediakan wartawan, Maiza Musa Albakri sempena sambutan Hari Diabetes Sedunia.

Media Baharu