JOHOR BAHRU, 19 April- Tahap kecekapan perkhidmatan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Johor Bahru belum mencapai 100% untuk mengharungi musim perayaan Aidilfitri.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, setakat ini tahap kecekapan hanya berada pada kadar 80%, melibatkan lorong kereta dan motosikal serta kaunter yang beroperasi.
Beliau berharap JIM dapat mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan kadar kecekapan di BSI kepada 100% bagi memudah dan melancarkan perjalanan pengembara.
Tambah beliau, sebanyak 2 juta pengembara dijangka keluar dan masuk di BSI sepanjang musim Hari Raya Aidilfitri ini.
"Saya juga nak menjemput Ketua Pengarah Imigresen Malaysia yang baharu untuk datang ke imigresen ini secepat mungkin untuk lihat macam mana kita boleh bantu mempertingkatkan kadar efisien di sini. Sebab itu komitmen daripada Ketua Pengarah Imigresen sangat penting, beliau melihat sendiri apa yang berlaku," katanya.
(Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi / FOTO FB onnhafizghazi)
Menurut beliau, penutupan beberapa kaunter imigresen di BSI berkemungkinan disebabkan oleh isu penugasan kakitangan.
Beliau berkata demikian selepas meninjau pengoperasian JIM di BSI Johor Bahru.
Onn Hafiz turut meluangkan masa meninjau dan bertanya khabar pemandu-pemandu teksi di kompleks tersebut.