KANGAR, 19 April- Program Jualan Raya GiatMARA berlangsung selama dua hari memberi tumpuan kepada pemasaran produk yang dihasilkan para pelatih.
Ini salah satu pendekatan yang diambil GiatMARA untuk menjadikan pelatih sebagai usahawan berjaya dalam bidang dipelajari untuk manfaat masyarakat.
Menurut Penyelaras Program, Farah Osman, program kali ini melibatkan penyertaan seramai 50 pelatih dengan produk jualan seperti biskut raya, jualan pakaian dewasa dan kanak-kanak, perkhidmatan urutan tangan dan jualan aksesori serta perkhidmatan baik pulih telefon bimbit.
Beliau berkata, produk yang dihasilkan mendapat sambutan baik daripada masyarakat dan paling mendapat perhatian ialah kuih raya yang berjaya dijual sehingga 300 balang untuk tempoh dua hari program.
Tambah beliau, walaupun barangan yang ditawarkan pada harga murah dan berpatutan, secara purata mampu menjana pendapatan sehingga RM5,000 buat pelatih berkongsi rezeki.
(Farah Osman)
"Secara keseluruhan, Alhamdulillah memang produk-produk yang kita hasilkan berkualiti dan insya-Allah menepati citarasa rakyat Malaysia. Paling laris untuk hari raya pastinya kuih raya," katanya.
Beliau ditemui pada Program Jualan Raya GiatMARA di Perkarangan Kayangan Square yang turut dihadiri Pengarah GiatMARA Negeri, Harun Radzi.
Program sebegini akan diteruskan GiatMARA dalam membentuk jati diri pelatih agar mampu berdikari selepas tamat latihan serta menjadikan kepakaran dimiliki sebagai sumber menjana pendapatan selain bersedia berkhidmat untuk masyarakat.