fb fb fb fb fb

Kematian Maradona: Lapan pengamal perubatan akan dibicarakan

(Diego Maradona/File REUTERS)

BUENOS AIRES, 19 April - Mahkamah rayuan Argentina mengesahkan bahawa lapan profesional perubatan yang dituduh terbabit dalam kematian legenda bola sepak, Diego Maradona akan dibicarakan.

Pakar bedah saraf Leopoldo Luque, pakar psikiatri Agustina Cosachov dan enam yang lain telah merayu keputusan asal untuk membicarakan mereka atas tuduhan membunuh.

Lapan defendan itu sebaliknya merayu kepada mahkamah di San Isidro, barat laut Buenos Aires bahawa mereka harus dituduh melakukan pembunuhan tidak sengaja.

Maradona, 60 tahun, meninggal dunia pada November 2020 semasa dalam proses pemulihan daripada pembedahan otak disebabkan pembekuan darah, dan selepas berdekad bertarung dengan ketagihan kokain dan alkohol.

Dia ditemukan mati di atas katil dua minggu setelah dibedah di sebuah rumah sewa di kawasan kejiranan eksklusif Buenos Aires, lokasi dia dibawa selepas keluar dari hospital.

Maradona didapati meninggal dunia akibat serangan jantung.

Antara tertuduh ialah seorang pakar psikologi, doktor klinikal, penyelaras perubatan, penyelaras kejururawatan dan jururawat.

Pada tahun 2021, panel 20 pakar perubatan yang dipanggil oleh pendakwa raya Argentina membuat kesimpulan bahawa Maradona "mempunyai peluang lebih baik untuk terus hidup" jika menjalani rawatan yang mencukupi di kemudahan perubatan yang sesuai.

Pendakwa raya menuduh profesional perubatan terbabit melakukan rawatan pesakit di rumah dalam keadaan "melulu" dan "kekurangan".

Tuduhan awal pembunuhan dengan "dolus eventualis" bermaksud seseorang bertanggungjawab atas kecuaian sambil mengetahui bahawa kelakuan sedemikian boleh membawa kepada kematian.

Tarikh perbicaran belum ditetapkan. -AFP


(Agustina Cosachov, pakar psikiatri mendiang legenda bola sepak Diego Armando Maradona tiba
ke pejabat pendakwa raya di San Isidro, ditemani peguamnya, Vadim Mischanchuk/REUTERS)

Media Baharu