BIDOR, 3 Februari - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sedang dalam proses akhir memindahkan kesemua tahanan di Depot Imigresen Sementara Bidor ke enam pusat tahanan lain.
Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata kumpulan terakhir dipindahkan malam tadi ke Depot Imigresen Bukit Jalil melibatkan 100 tahanan wanita.
Sebelum ini 335 tahanan telah dipindahkan ke lima depot lain iaitu 15 tahanan ke Langkap, Perak, 143 tahanan ke Machap Umboo, Melaka, 126 tahanan ke Lenggeng, Negeri Sembilan dan 49 tahanan ke Kemayan, Pahang.
Pengasingan itu dibuat berikutan penutupan sementara Depot Imigresen Sementara Bidor sehingga siasatan selesai.
"Lepas selesai siasatan kita akan angkat syor cadangan penambahbaikan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan berbincang dengan pengurusan tertinggi hala tuju kita. Sama ada nak tambah baik fasiliti atau tindakan lain itu bergantung kepada keputusan KDN," katanya ketika melawat depot berkenaan di sini.
Jelas beliau, operasi mengesan baki tahanan akan diteruskan di kawasan sekitar melibatkan radius lima kilometer dengan kerjasama agensi keselamatan lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Depot Imigresen Sementara Bidor mampu menempatkan lebih 700 tahanan pada satu-satu masa.
Mengulas mengenai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang bertugas ketika kejadian, beliau berkata tiada isu timbul berhubung perkara tersebut.
Ini kerana pasukan itu merupakan entiti sah daripada segi undang-undang membantu penugasan operasi dan kawalan keselamatan.
Artikel Berkaitan:
PATI lolos, operasi kesan 123 tahanan giat dijalankan - Polis Perak
PATI lolos, operasi kesan 123 tahanan giat dijalankan - Polis Perak