fb fb fb fb fb

Mohamad gesa EU-ASEAN bekerjasama tangani cabaran peralihan tenaga

Mohamad Hasan (dua kiri)

BRUSSELS, 2 Februari- Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menggesa ASEAN dan Kesatuan Eropah (EU) bekerjasama menangani cabaran dan peluang dalam aspek tenaga bersih secara dua hala dan dalam rangka kerja kerjasama ASEAN-EU.

Jelas beliau, negara membangun memerlukan sokongan daripada negara maju khususnya berkaitan pembiayaan, insentif, teknologi dan infrastruktur bagi memastikan peralihan tenaga yang adil.

Malaysia juga akan bertunjangkan pada penyelesaian praktikal yang memacu kemajuan, mengimbangi cita-cita iklim, kemampanan dan pertumbuhan ekonomi dalam menangani isu tenaga.

Tambahnya, perdagangan adalah tunjang penting untuk mempercepatkan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi negara membangun dan membina halangan kepada perdagangan boleh menghakis multilateralisme dan kerjasama serta menghalang pertumbuhan negara membangun.

Beliau berkata demikian pada sesi meja bulat bertajuk ''The Green Transition: Partnering for a Sustainable Future" yang dianjurkan di sini.

Mohamad kini berada di Belgium bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN-Kesatuan Eropah (AEMM) ke-24 serta Forum Menteri Indo-Pasifik Kesatuan Eropah (EU IPMF) ke-3.

SITI AISHAH BINTI MD ISA