fb fb fb fb fb

Tadika Bitara UPSI prasekolah pertama diiktiraf UNESCO

Tadika Bitara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di bawah seliaan Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) menerima Certificate of Membership ASPnet/Foto UPSI

TANJONG MALIM, 24 September - Tadika Bitara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di bawah seliaan Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) mencipta sejarah apabila diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai prasekolah pertama di Malaysia menerima Certificate of Membership ASPnet.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md. Taff berkata pengiktirafan itu membuktikan kejayaan besar pendidikan awal kanak-kanak negara apabila sijil rasmi diserahkan pada 11 Ogos lalu.

Md Amin berkata, Tadika Bitara menjadi perintis melaksanakan pendidikan berteraskan kelestarian (ESD) yang mendidik kanak-kanak tentang tanggungjawab menjaga alam sekitar serta kesedaran global sejak awal usia.

"Selain kurikulum akademik, murid dilatih amalan lestari melalui aktiviti berkebun, kitar semula, pengurusan sisa, penjimatan tenaga dan projek komuniti bagi membentuk generasi berjiwa kepemimpinan global.

“Pengiktirafan ini meletakkan TADIKA Bitara di pentas antarabangsa sebagai model prasekolah berteraskan kelestarian,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, Pengarah NCDRC, Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustafa menyifatkan kejayaan itu sebagai simbol kebanggaan nasional dan bukti Malaysia berupaya menjadi peneraju pendidikan awal berteraskan kelestarian di peringkat global.

Dengan keahlian ASPnet, TADIKA Bitara kini berpeluang menjalin kerjasama antarabangsa, mengakses sumber pembelajaran UNESCO serta berkongsi amalan terbaik pendidikan awal bersama sekolah dan prasekolah seluruh dunia.

ASPnet ditubuhkan pada 1953, kini menghimpunkan lebih 11,500 institusi pendidikan dari 182 negara, sebagai platform kerjasama dalam hak asasi, kelestarian, dialog budaya dan pedagogi inovatif.

GRACE AISYAH KEDAYAN