fb fb fb fb fb

Tabiat merokok perlu dihentikan, bukan ganti dengan rokok elektronik

Derma darah antara aktiviti sempena sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2024 peringkat negeri Kedah di SMMTC UUM/Foto UUM

SINTOK, 1 Julai – Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr. Ismuni Bohari berkata, mesej sebenar sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia, bukanlah bermaksud menggantikan tembakau dengan produk lain seperti rokok elektronik tetapi menghentikan sama sekali tabiat yang menjejaskan kesihatan itu.

Tegas beliau, rokok elektronik atau vape yang popular dalam kalangan generasi muda pada hari ini juga sangat berbahaya kepada kesihatan pengguna dan setanding kesan tembakau terutama kepada paru-paru manusia.

“Bagi saya, sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia ini perlu diperkukuh dari segi mesej kerana kita mahu pengguna tembakau menghentikan tabiat merokok kerana ia memberi kesan buruk kepada kesihatan dan bukannya menukar rokok dengan produk lain seperti vape atau rokok elektronik yang begitu banyak di dalam pasaran pada hari ini,”katanya ketika berucap merasmikan sambutan di Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Dr. Ismuni kemudian berkongsi pengalaman ketika bertugas di Wilayah Persekutuan Labuan dan merawat seorang pesakit yang mengalami kebocoran paru-paru kerana tabiat menghisap vape.

Menurut beliau, pesakitnya itu, terpaksa bergantung kepada tabung oksigen seumur hidup bagi membantu pernafasan kerana masalah paru-paru yang dihidapi.

Beliau membangkitkan kes tersebut bagi mengingatkan orang ramai khususnya generasi muda supaya tidak terjebak di dalam tabiat merokok sama ada berasaskan tembakau atau vape.

Dr. Ismuni turut bersetuju bahawa kempen kesedaran bahaya tembakau dan vape perlu diperkemas dan diperluas kepada generasi muda terutama pelajar sekolah dan universiti sesuai dengan tema sambutan tahun ini iaitu “Lindungi Kanak-kanak daripada Pengaruh Industri Tembakau.”

“Kita perlu cegah generasi muda daripada terlibat dengan tembakau dan vape dalam usaha melahirkan generasi akan datang yang sihat bukan sahaja dari segi kesihatan fizikal tetapi mental. Amalkanlah gaya hidup sihat dan bebas daripada rokok serta vape. Elemen udara panas di dalam vape menjejaskan paru-paru dan bukan itu sahaja, bahan perisa vape mengandungi pelbagai bahan termasuk nikotin. Ini sebenarnya cukup membimbangkan,” tegas beliau lagi.

Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2024 peringkat negeri Kedah buat pertama kali diadakan secara kerjasama dengan SMMTC UUM dengan misi mendedahkan mahasiswa kepada bahaya tembakau dan vape.

Selain itu, mahasiswa merupakan barisan pemimpin pada masa hadapan dan sangat penting mereka turut sama memainkan peranan menggalakkan budaya hidup sihat sama ada di peringkat komuniti, organisasi atau keluarga.

Sementara itu, Dekan SMMTC, Prof. Madya Dr. Mohd. Khairie Ahmad berkata, penganjuran sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia di UUM diharap menjadi titik mula kepada kerjasama lebih erat dengan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah bagi menggalakkan cara hidup sihat dan kempen kesedaran bahaya tembakau serta vape.

“Biarlah program ini menjadi permulaan untuk kerjasama lebih sinergi pada masa akan datang. UUM sedia mengadakan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah untuk sama-sama menganjurkan program dan lebih utama, berkongsi kepakaran serta kemahiran untuk kepentingan kepada masyarakat terutama berkaitan aspek kesihatan orang ramai.’ Jelas Dr. Mohd. Khairie.

Pelbagai aktiviti dianjurkan sempena sambutan tahun ini seperti pameran kesihatan, saringan kesihatan percuma, saringan HIV dan hepatitis, kempen derma darah, pemeriksaan gigi, ujian glukos dan kolestrol.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD