fb fb fb fb fb

RTM - DBP jalin kerjasama martabat Bahasa Melayu dalam penyiaran

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 1 Julai- Radio Televisyen Malaysia (RTM) bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sepakat untuk menjalin kerjasama secara strategik ke arah memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam bidang penyiaran.

Beberapa cadangan diutarakan dalam agenda pengukuhan penguasaan bahasa kebangsaan iaitu membabitkan penerbitan kandungan rancangan, peningkatan kepakaran dan khidmat nasihat agensi terbabit.

Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari berkata kerjasama strategik tersebut akan memberi nilai tambah pada masa hadapan dalam pengukuhan kecintaan bahasa ibunda dalam masyarakat.

"Harapan kami sangat besar sebab sekarang ini sudah menjadi satu keperluan untuk kita meningkatkan lagi kecintaan masyarakat kepada bahasa kebangsaan," kata Dr. Hazami kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Kerjasama RTM-DBP di Menara Angkasapuri, hari ini.

Tambahnya, melalui jalinan kerjasama itu, ia dapat memartabat bahasa kebangsaan sebagai asas perpaduan dan kesejahteraan dalam kalangan rakyat Malaysia, selain memulihkan semula kewibawaan bahasa kebangsaan itu.

Turut hadir, Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman dan Timbalan Pengarah Bahagian Berita Ehwal Semasa, Md Shahri Saripan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM