fb fb fb fb fb

Program NEM Rakyat, lebih 20,000 pepasangan beroperasi

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 1 Julai- Sebanyak 151.86 megawatt atau 20,418 pepasangan program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) Rakyat telah beroperasi sehingga kini.

Program berkenaan menawarkan kuota sebanyak 350 megawatt dan sehingga Jun lepas, sebanyak 241.46 megawatt telah diluluskan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA), Datuk Hamzah Husin berkata pihaknya dipertanggungjawab membangunkan industri Tenaga Lestari negara menerusi pelaksanaan Tarif Galakan, NEM dan Kemampanan Dicapai Melalui Kecekapan Tenaga.

Ia selaras komitmen Malaysia terhadap kelestarian alam sekitar dan mengurangkan sehingga 45 peratus gas rumah kaca (GHG) menjelang 2030.

Selain itu, menerusi program rebat SAVE 4.0, ia dapat menggalakkan pengguna membeli peralatan elektrik cekap tenaga.

Pengguna boleh mendapat e-rebat sehingga RM400 bagi pembelian peti sejuk dan penyaman udara bertaraf empat atau lima bintang cekap tenaga di kedai berdaftar atau platform e-dagang.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM