fb fb fb fb fb

Syarikat telco diminta baiki segera menara telekomunikasi yang rosak akibat banjir

(Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching ditemu bual media selepas mengedarkan
tanglung kepada masyarakat Tionghoa di Kampung Cina, Kuala Terengganu)   

KUALA TERENGGANU, 13 Januari - Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) meminta syarikat-syarikat telco membaiki segera mana-mana menara telekomunikasi yang rosak akibat banjir baru-baru ini terutamanya di Terengganu dan Kelantan.

Walaupun senarai bilangan struktur talian komunikasi terlibat dan terjejas masih belum diperolehi, KKD berharap tindakan segera dapat jalankan bagi memudahkan perhubungan komunikasi penduduk.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata sebelum ini pihaknya telah pun mengadakan perbincangan dengan semua syarikat telco dan meminta ia diperbaiki dalam tempoh yang singkat kerana perkhidmatan komunikasi itu merupakan keperluan asas.


(Foto fail)

"Kalau ada masalah yang belum selesai, saya memang 'welcome', maklum balas daripada penduduk di sini supaya kami boleh bawa perkara itu dan bincang dengan syarikat-syarikat telco, tetapi memang arahan telah disampaikan kepada semua syarikat telco supaya kerja-kerja pembaikan ini dilaksanakan serta-merta untuk pastikan bahawa semua orang dalam tempoh bencana juga ada perkhidmatan komunikasi," kata beliau ketika ditemui selepas mengedarkan tanglung kepada masyarakat Tionghoa bersempena kedatangan perayaan Tahun Baharu Cina di Kampung Cina, di sini hari ini.

Pada program ini, Teo singgah di beberapa buah gerai makanan dan bertemu serta beramah mesra dengan warga setempat.

Media Baharu