IPOH, 13 Januari- Bekas penyerang Harimau Muda, Hadi Fayyadh Abdul Razak diumum sebagai pemain baharu Perak FC bagi menghadapi saingan Liga Super tahun ini.
Sebelum ini pemain berusia 23 tahun itu beraksi untuk pasukan Azul Claro Numazu dan Fagiano Okayama dalam saingan liga J2 dan J3 di Jepun.
Kehadiran Hadi di Ipoh pastinya akan menambah sengat bahagian serangan pasukan The Bos Gaurus yang sebelum ini telah menandatangani penyerang import dari Nigeria, Christian Obiozor.
Menurut Hadi, "yang paling penting sekali saya cuba bantu pasukan Perak dalam aksi perlawanan akan datang.Kita tahu Perak adalah satu pasukan yang sangat bagus.
"Saya rasa percaya kita akan dapat lakukan walaupun ia mengambil sedikit masa. Namun saya percaya ia boleh dilakukan," katanya kepada pemberita di sini.
Sementara itu, jurulatih Perak FC, Lim Teong Kim berharap, penyokong dapat bersabar dan memberi masa buat kedua-dua pemain menyesuaikan diri dengan pasukan.
"Semua orang pun memerlukan masa termasuk Hadi. Jadi saya harap semua pun boleh berikan masa dan bersabar supaya kami boleh bermain bola sepak dengan lebih baik," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Jersi baharu Perak FC, di Stadium Perak, Ipoh di sini.
(Sidang media selepas Majlis Pelancaran Jersi baharu Perak FC)