RIO DE JANEIRO, 6 Julai- Syarikat Malaysia digesa meneroka pasaran dan peluang baharu di luar negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pihak industri tidak sepatutnya hanya selesa dengan pasaran tradisional sedia ada.
Beliau berkata platform seperti BRICS menawarkan peluang yang amat besar serta memuji syarikat Malaysia seperti Petronas dan Yinson Production atas kejayaan usaha niaga syarikat tersebut di Brazil.
"Sebagai negara yang mengamalkan perdagangan terbuka, kita perlu meneroka pasaran dan potensi perdagangan baharu. Brazil antara negara di Amerika Latin yang penting dari segi suara dan kuasa ekonomi dalam kalangan negara BRICS", katanya pada majlis majlis makan malam di Rio De Janeiro.
Hadir sama delegasi syarikat korporat Malaysia yang turut serta lawatan.
Datuk Seri Anwar kini dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Brazil sempena Sidang Kemuncak BRICS.
Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Brazil meningkat 14.6 peratus kepada RM20.35 bilion (US$4.38 bilion) pada 2024, daripada RM17.43 bilion pada 2023. Brazil adalah salah satu rakan dagang utama Malaysia di Amerika Latin.