KUALA LUMPUR, 6 Julai- Misi Perdagangan dan Pelaburan Malaysia ke Perancis yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya menjana potensi pelaburan bernilai RM4 bilion serta potensi eksport sebanyak RM675 juta.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz dalam satu kenyataan memaklumkan, kejayaan misi itu mencerminkan keyakinan berterusan syarikat asing terhadap dasar mesra pelabur Malaysia, ekosistem rantaian bekalan kukuh, daya saing negara serta potensi pertumbuhan ekonomi mampan.
"Potensi pelaburan dan perdagangan yang diperoleh bakal membuka lebih banyak peluang kepada syarikat tempatan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta mewujudkan lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi untuk rakyat.Semua ini merupakan pemacu penting dalam agenda transformasi ekonomi MADANI negara, menurut kenyataan itu.
Pertemuan Perdana Menteri bersama 40 wakil industri utama Perancis telah menarik minat beberapa syarikat untuk melabur secara kumulatif dalam pelbagai sektor strategik.
Antaranya termasuk sektor berteknologi tinggi, aeroangkasa, tenaga boleh baharu, pelancongan dan hospitaliti, ekonomi digital serta infrastruktur mampan.
Sementara itu, potensi eksport berjumlah RM675 juta pula dijana dalam sektor berimpak tinggi seperti aeroangkasa, automotif, tenaga boleh baharu, farmaseutikal, ekonomi digital, gaya hidup dan produk Halal.
Kesemua sektor itu merupakan tumpuan utama bawah Rancangan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Strategi Pelaburan Hijau negara.
Syarikat-syarikat yang ditemui turut menyatakan komitmen untuk terus melabur di Malaysia, didorong beberapa faktor utama termasuk ekosistem pelaburankondusif, stabil dan dinamik, permintaan global yang memberangsangkan terhadap produk buatan Malaysia.
Terdahulu, Perdana Menteri mengadakan lawatan rasmi selama dua hari ke Perancis, yang merupakan lawatan sulung beliau ke negara itu sejak dilantik sebagai Perdana Menteri.
Lawatan tersebut adalah sebahagian daripada rangka kerja rasmi ke tiga negara, Itali, Perancis dan Brazil yang berlangsung dari 1 hingga 8 Julai.