PAPAR, 3 Ogos - Golongan belia di bawah umur 39 tahun, termasuk mereka yang berpendidikan sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dikenal pasti menjadi sasaran utama pengedar dadah.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, trend ini bukan sahaja berlaku di negeri Sabah, malah dikesan di seluruh negara.
Ia juga termasuk dalam kalangan mereka yang berkelulusan tinggi.
"Kita ada lebih kurang 9,207 penagih dadah yang direkodkan dan berasaskan data ini jelas kelihatan ada 0.3 peratus ialah dikalangan mereka yang ada pendidikan sarjana atau PhD. Kalau kita lihat pula 1.7 peratus ialah yang ada diploma dan 4,218 adalah di kalangan mereka yang ada pendidikan sekurang-kurangnya SPM",
Beliau ditemui media selepas menyampaikan watikah pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Sinergi Komuniti Daerah (JSKD) Sabah dalam Majlis Ramah Mesra bersama AADK dan PEMADAM Negeri, di sini.
Shamsul turut melahirkan kebimbangan terhadap penularan dadah sintetik seperti syabu yang mudah didapati dan murah.
Ia sekali gus mencetus cabaran baharu kepada AADK dan PEMADAM.
Cadangan penambahbaikan Infrastruktur termasuk logistik, kepakaran dan penambahan kepegawaian di Sabah juga akan diberi perhatian sewajarnya.
Ini termasuk cadangan membina sebuah lagi Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di Tawau, menjadikannya yang kedua selepas PUSPEN Papar.