JERANTUT, 3 Ogos - Akibat terpedaya dengan pulangan lumayan yang dijanjikan, seorang jurutera kehilangan wang simpanannya berjumlah RM230,000.
Lelaki berusia 67 tahun dari Jerantut, Pahang itu mengalami kerugian selepas ditipu skim pelaburan tidak wujud menerusi aplikasi WhatsApp, Julai lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa pada awalnya menerima satu pesanan ringkas daripada seorang individu pada 14 Julai lalu, yang menawarkan peluang pelaburan dalam Bursa Saham menerusi sebuah syarikat dikenali sebagai Elite Group.
"Mangsa ditawarkan pulangan RM150,000 dengan nilai pelaburan sebanyak RM50,000 dalam tempoh singkat.
"Tertarik dengan tawaran tersebut, mangsa bersetuju dan mula membuat sembilan kali transaksi pembayaran ke empat akaun bank berbeza dalam tempoh 16 hingga 31 Julai," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, mangsa menyedari ditipu selepas diminta untuk melakukan bayaran tambahan atas alasan terdapat masalah semasa pemprosesan pelaburan.
Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai agar berwaspada dengan pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat, khususnya yang dipromosikan melalui media sosial.