ALOR SETAR, 3 Ogos - 500 ribu orang disasar mengunjungi Temasya Oghang Kedah (TOK) 2025 yang berakhir hari ini dengan pulangan pelaburan sebanyak RM4 juta.
Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff menyifatkan penganjuran program selama empat hari itu kekal relevan kepada masyarakat dan perlu dilaksanakan secara berterusan.
"Temasya tersebut merupakan antara program budaya yang diketengahkan bertujuan mengangkat dan memartabatkan, serta menyemarakkan seni budaya dan warisan negeri Kedah kepada pelancong dalam dan luar negara.
"Penganjuran program seumpama itu juga merupakan salah satu kaedah untuk menggalakkan persatuan atau Badan Bukan Kerajaan (NGO) bergiat aktif dalam melaksanakan aktiviti komuniti masyarakat di negeri-negeri," katanya ketika berucap dalam majlis perasmian TOK 2025 yang disempurnakan oleh Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin di perkarangan Stadium Darul Aman, malam tadi.
Sehingga Jun lalu, sebanyak RM40,000 diberikan kepada dua persatuan seni budaya dan syarikat seni untuk melaksanakan program seni dan budaya di negeri itu.
Bawah Jawatankuasa Pemberian Bantuan Kerajaan (JPBK), sebanyak RM531,000 bantuan kewangan diperuntukkan kepada tiga persatuan seni budaya di Kedah, manakala menerusi Insentif Seni-Kewangan (IS-K), kerajaan melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) memperuntukkan RM39,000 kepada tujuh persatuan seni di negeri itu.
Temasya Oghang Kedah sasar 500 ribu pengunjung, pulangan pelaburan RM4 juta

powered by social2s