KANGAR, 6 Julai- Enam sekeluarga yang terjejas dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Tok Kandang petang semalam, menerima bantuan dari pelbagai pihak, termasuk UMNO Bahagian Kangar.
UMNO Bahagian Kangar menyalurkan barangan keperluan harian seperti tilam, toto, bantal dan telekung kepada mangsa yang kini ditempatkan sementara di Dewan Orang Ramai Kampung Tok Kandang.
Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya, berkata pihaknya akan memastikan bantuan sewajarnya diberikan kepada mangsa yang terlibat dengan kejadian bencana yang berlaku.
‘’Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat sedang melaksanakan penilaian lanjut bagi menyalurkan bantuan pemulihan yang bersesuaian dan kes dirujuk kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk bantuan susulan", katanya menerusi satu kenyataan.
Selain UMNO Bahagian Kangar, bantuan awal telah disalurkan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Persatuan Amal Bakti Perlis (PABPs) serta Pejabat DUN Sena.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 4.30 petang semalam, rumah didiami Rasilah Isa bersama lima ahli keluarga lain musnah 60 peratus dalam kebakaran yang berlaku.